Sejarah Khatib Leman




 
Khatib  Leman atau nama  sebenarnya  Sulaiman  bin  Abdul  telah  dilahirkan dalam  tahun  1894  oleh  ibunya yang bernama Limah binti Abdullah di Kampung Ayer Limau, Masjid Tanah, Melaka.Memiliki tubuh sederhana, berkulit cerah kemerahan , bersifat lemah lembut dan merendah diri, tegas lagi penyayang dari suku adat Perpatih Semelenggang.Beliau mempunyai seorang adik berlainan bapa bernama Osman bin Daud yang   berkahwin dengan Hjh Kelijah tinggal di Bukit Keledang, Kg Ayer Limau.

Khatib Leman berkahwin dengan anak  pasangan Hj Che Mat dan Siam@Yam dari suku Anak  Melaka Paya Dalam yang bernama Aminah tetapi mesra dipanggil Che Embi oleh kaum keluarga, yang telah bersama-sama membangunkan kehidupan keluarga dengan bekerja kampung  menoreh getah dan bersawah padi. Diceritakan Khatib Leman pernah menjadi guru disekolah Melayu dengan gaji RM24 sebulan tetapi beliau memilih untuk melakukan kerja kampung  bagi menyara keluarga beliau.

Untuk keselamatan keluarga beliau telah membina sebuah rumah tradisional berbentuk rumah Perak yang berbumbung dua sederhana besarnya dengan 29 batang tiang kayu beratap zing yang agak teguh.

Khatib Leman mesra dengan penghuni kampung kerana aktivitinya lebih cenderung kepada keagamaan, dalam usia muda lagi beliau telah dilantik  sebagai  pegawai   Syara’ dan menyandang Jawatan Khatib mengikut qota adat suku Semelenggang. Beliau menjadi tempat rujukan masyarakat berhubung kenduri kendara, nikah kahwin dan kematian selepas Imam.

Bak kata orang tua-tua “sirih naik junjung patah”  itulah yang telah berlaku kepada Khatib Leman dimana isteri yang dikasihi jatuh sakit demam panas dan komplikasi dalam perut kembali ke rahmatullah pada 28.5.1940 dan meninggalkan Khatib  Leman yang dicintai serta 5 anak lelaki dan 2 anak perempuan. Keperihatinan ipar lamai untuk meringankan keperitan  akibat suasana yang menimpa, ditambah pula dengan peperangan British-Jepun telah membuatkan mereka membuat keputusan untuk mengambil beberapa orang anak beliau untuk dibela  sebagai anak angkat. Tetapi malangnya tindakan mereka telah memberi impak yang mendalam kepada Khatib Leman, menyebabkan beliau terus dengan  rendah  diri  merayu  supaya memulangkan semula anak-anaknya kepada beliau melainkan Angah yang   bernama Abd Ghani yang terpaksa kekal menemani neneknya Limah yang kematian suami.


Suasana mendung beransur cerah apabila ada pihak hendak membantu membela anak-anak yang memerlukan asuhan dan kasih sayang, maka bernikahlah Khatib Leman dengan saorang gadis yang tinggal tidak jauh dari rumahnya bernama  Embok binti Abdullah,  tingallah mereka dirumah Khatib Leman dengan aman damai.

Selepas beberapa lama berkahwin, sampailah masanya isteri akan melahirkan anak yang dikandungnya, maka datanglah keluarga isteri menjemput dan membawanya balik ke rumah keluarga dengan tujuan melahirkan. Dari keluarga yang tidak pernah melahirkan  anak, mereka  menyambut  kelahiran cucu pertama dari anak belaan dengan penuh kegembiraan.

Manusia memang sifatnya berubah-ubah, isteri yang berbangga dengan kelahiran anak yang comel telah di tahan dari dibenarkan untuk pulang ke pangkuan suami tersayang. Pelbagai usaha telah  dilakukan untuk merungkai kemelut keluarga yang melanda, namun telah gagal. Berasa kecewa dengan perkara tersebut, beliau telah menyerahkan  semula jawatan  sebagai Pegawai Syara’  dan Khatib yang telah disandang buat beberapa lama.

Walau bagaimana pun, kegagalan rumah tangga Khatib Leman tidak memberi banyak tekanan, kerana anak yang  kecil  sudah  mula  membesar anak yang besar sudah mula beradu nasib dan ada yang sudah masuk  Maktab Perguruan Tanjung Malim.Khatib Leman meneruskan kehidupannya seperti biasa, di waktu petang metalaah kitab  dirumah. Beliau kerap dikunjungi oleh peraih ayam dan peraih getah, yang sering bertanya khabar, bersembang  bersama dan tidak kurang juga yang bergurau senda. Dalam episod bergurau senda sesama mereka,  mereka sering mengusik dan menyuntikan semangat untuk beliau kembali untuk berumah tangga semula.

Tanpa disedari akhirnya usikan mereka telah berjaya untuk membuka hati beliau untuk berumah tangga semula apabila Khatib Leman bersetuju untuk menikahi seorang gadis yang disarankan yang bernama Siti binti Said yang tinggal di  Solok  Pekat.  Persiapan majlis ijab qabul dan segala urusan telah dilakukan oleh mereka dan telah  disempurnakan   dalam  suasana  yang  sederhana. Dan dengan itu bermula lah  hidup mereka di rumah Khatib Leman dalam suasana yang aman dan bahagia.




Pada 21.11.1954 anak gadis yang dikasihi bernama Habsah yang telah bertunang dengan Jais bin A Ghani telah meninggal dunia. Manakala anak-anak yang lain telah keluar mencari kehidupan  sendiri  dan ada yang mengikuti suami maka tinggallah mereka berdua.

Perubahan suasana yang baru,  mereka telah mengorak langkah bagi membangunkan ekonomi keluarga dengan membuka sebuah kedai kopi di depan masjid Kg. Ayer Limau. Seterusnya beliau telah meneroka tanah di pinggir Bukit Apit dengan sokongan dan bantuan dari anak-anak dengan sekadaryang mampu. Anak-anak telah membinakan sebuah rumah bentuk Limas yang comel untuk   mereka,  maka  hiduplah  mereka  sekeluarga dirumah berkenaan dengan aman.

Perubahan suasana yang baru,  mereka telah mengorak langkah bagi membangunkan ekonomi keluarga dengan membuka sebuah kedai kopi di depan masjid Kg. Ayer Limau. Seterusnya beliau telah meneroka tanah di pinggir Bukit Apit dengan sokongan dan bantuan dari anak-anak dengan sekadar yang mampu. Anak-anak telah membinakan sebuah rumah bentuk Limas yang comel untuk   mereka,  maka  hiduplah  mereka  sekeluarga dirumah berkenaan dengan aman.


Setiap yang bernyawa pasti akan menemui mati, maka itulah yang telah berlaku kepada Khatib Leman pada 27 Mei 1969 telah menghembus nafas akhirnya dengan meninggalkan isteri yang dikasihi serta sembilan orang anak yang cerdas lagi comel, juga  kaum kerabat yang ramai berselerak dikampung Ayer Limau, Kampung Lekok, Ayer Hitam Darat, Ayer Hitam Pantai juga Tanjung Bidara.
Semuga Allah swt merahmati roh mereka. Amin.



Musa Khatib Leman
6hb April 2015

No comments:

Post a Comment